Pada suatu
hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim
menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi
Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.
Maka
berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin
mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu,
wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada
bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan
diriku untuk disembelih.”
Setelah
persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail
untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai
kepada pengetahuan orang
ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan,
“Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mau menyembelih anaknya
sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.“
Walau
apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas
yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan
anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai
ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku
disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian
ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada
leherku.”
Kemudian
Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam
mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimat atas nama Allah lalu memancungkan
pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi
Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan
membuka penutup matanya.
Tetapi
alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya
melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun
berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga
dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.
Sepeninggalan
Nabi Ibrahim, yaitu sejak Siti Hajar melepaskan anaknya untuk disembelih oleh
baginda, dia sentiasa menangis. Fikirannya bertambah pusing disebabkan diganggu
oleh syaitan laknat yang mengatakan kononnya Nabi Ibrahim telah gila dan
sebagainya.
Pada suatu
hari, dari jauh Siti Hajar mendengar suara takbir memuhi-muji nama Allah,
semakin lama semakin dekat dan akhirnya dapatlah Siti Hajar kenali bahawa suara
itu adalah suara anaknya Ismail dan suaminya Nabi Ibrahim.
Maka
dengan segera dia pergi mendapatkan anak dan suaminya sambil bersyukur kepada
Allah S.W.T. kerana telab memberi kekuatan kepadanya sehingga dia sanggup
membenarkan anaknya untuk disembelih.
Siti Hajar
menangis bukanlah disebabkan marah kepada Nabi Ibrahim tetapi hanyalah menangis
seorang ibu terhadap anaknya memandangkan dia adalah seorang wanita yang taat
kepada Allah dan tidak mudah digoda oleh syaitan.
Peristiwa
ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111